The Kelantan Times

Membangun Bersama Islam

Allahuakhbar ! Sultan Muhammad V: “Malikussoleh”!

with 2 comments

Salasilah Keturunan Long Yunus.

Salasilah Kesultanan Kelantan sejak tahun 1900

4 Sultan Kelantan terakhir sebelum Sultan Muhammad V.

Sultan Muhammad IV (duduk) bersama Sultanah Zainab serta Sultan Ismail (kiri)

Sultan Yahya Petra, Tengku Zainab (tiga dari kiri) bersama anakanda baginda termasuk Sultan Ismail Petra (tengah).

Sultan Muhammad V (kanan) bergambar bersama ayahanda baginda dan Tengku Anis serta Tengku Muhammad Faiz Petra (depan kiri), Tengku Muhammad Fakhry Petra dan Tengku Amalin A'ishah Putri.

Sultan Muhammad V melantik adinda baginda, Tengku Muhammad Faiz Petra sebagai waris serta mengurniakan gelaran Tengku Mahkota di Istana Negeri, Kota Bharu.

Semalam telah genaplah 6 bulan tarikh pemasyhuran Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia al-Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V. Allahuakhbar!!..di Kelantan rakyat menggelarkan baginda Sultan Kelantan yang baru sebagai “Malikussoleh” … iaitu pemerintah yang soleh. Tuanku Muhammad Faris Petra telah selamat dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 pada 13 September lalu dan kini bergelar Sultan Muhammad ke-V. Perkembangan yang berlaku di Kelantan mengenai keperibadian Baginda al-Sultan, bukan setakat menarik minat rakyat jelata negeri Kelantan, bahkan seluruh lapisan masyarakat di Malaysia yang ingin ‘menumpang kasih’ di bawah payung putera istana Kelantan yang islamik. Sehingga kini ramai yang masih menunggu saat pertabalan Tuanku Sultan Muhammad ke-V sebagai Sultan Kelantan ke-29.

Pemilihan putera berusia 41 tahun yang juga anakanda sulung, Tuanku Ismail Petra dan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid, juga mengakhiri kemelut menyelubungi Istana Kelantan. Pemasyhuran itu mencipta sejarah keluarga diraja di negara ini kerana baginda dilantik menjadi Sultan untuk memerintah negeri ketika ayahandanya masih hidup. Namun, pelantikan baginda dibenarkan mengikut Perkara 23A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua). Majlis Perajaan Negeri (MPN) Kelantan yang bersidang sebulat suara memilih, mengesahkan Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai raja memerintah dan menaiki takhta kerajaan Kelantan.

Selepas beberapa hari membuat ‘kerja rumah’ berkenaan kesultanan Kelantan, saya ingin mengimbau kembali salasilah keluarga Diraja Kelantan serta sejarah ringkas Kesultanan negeri ini yang menggunakan nama rasmi Sultan Muhammad dari pertama hingga ke kelima. Salasilah keluarga Sultan Muhammad ke-V bermula dari keturunan Long Yunus Long Sulaiman, Sultan yang memerintah Kelantan antara 1765-1795.

Sultan Muhammad I

1800 – 1835: Paduka Sri Sultan Muhammad I Khalilu’llah ibni al-Marhum Sultan Long Yunus [Sultan Mandul] yang memerintah Kelantan dari tahun 1800 hingga 1835. Baginda diputerakan di Losong sekitar tahun 1742, merupakan anak ke-6 Sultan Long Yunus bin Long Sulaiman. Baginda ditabalkan sebagai Raja Kubang Labu pada tahun 1756 dan kemudiannya ditabalkan sebagai Raja dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Kelantan pada 17 November 1801. Baginda mangkat di Pulau Saba pada 26 Januari 1835 dan disemadikan di Pemakaman Diraja Kampung Langgar, Kota Bahru. (digantikan oleh adinda baginda, Tengku Temenggong Long Tan)
Berdasarkan, buku Keluarga Diraja Kelantan Darul Naim, antara perebutan takhta yang pernah berlaku dalam sejarah negeri ini membabitkan Long Muhamad yang juga Sultan Muhammad I dengan iparnya iaitu Tengku Muhamad. Kemelut tercetus ketika itu apabila Long Yunus mangkat tanpa menamakan penggantinya, walaupun mempunyai ramai pewaris. Keadaan diburukkan apabila tiada kesepakatan dicapai membabitkan tujuh putera Almarhum Long Yunus untuk melantik seorang daripada mereka sebagai raja.

Berikutan itu, menantu Almarhum Long Yunus, Tengku Muhammad yang juga putera Yang di-Pertuan Terengganu, Sultan Mansur, dilantik sebagai Pemangku Sultan selama 100 hari bagi membolehkan jenazah Long Yunus dimakamkan sekali gus membolehkan pemerintahan negeri berjalan seperti biasa. Bagaimanapun, selepas tempoh 100 hari tamat, Tengku Muhammad enggan menyerahkan takhta menyebabkan timbul perbalahan perebutan kuasa membabitkan dirinya dengan Long Muhammad. Pertembungan antara mereka bagaimanapun menyebelahi Long Muhammad, sekali gus membolehkan baginda menaiki takhta kerajaan mulai 1800 dengan gelaran Sultan Muhammad I.

Sultan Muhammad II

1835-1886: Paduka Sri Sultan Muhammad II ibni al-Marhum Tengku Temenggong Long Tan [Sultan Mulut Merah], Sultan dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Kelantan memerintah dari tahun 1835 hingga tahun 1886. Baginda diputerakan pada tahun 1794 sebagai Long Senik yang merupakan anak ke-4 Tengku Long Tan, (Tengku Long Tan adalah anak ke-7 al-Marhum Sultan Long Yunus). Baginda telah diberi gelaran Tengku Temenggong Aria Pahlawan dan dilantik sebagai pewaris takhta selepas kematian ayahanda baginda (Tengku Long Tan ibn al-Marhum Sultan Long Yunus).

Baginda mengambilalih takhta selepas kemangkatan bapa saudara Baginda sebagai Raja dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Kelantan pada 26 Januari 1835. Baginda mengahwini Sultana Batoh [To'] binti Tengku Long Yusuf [Tuan Besar], dengan memakai gelaran Tengku Ampuan, sebelum memakai gelaran Sultana pada Mac 1877, yang juga merupakan anak bongsu Tengku Long Yusuf ibni al-Marhum Sultan Long Yunus. Baginda Sultan Muhammad-II mangkat di Istana Balai Besar, Kota Bahru pada 30 Oktober 1886 dan disemadikan di Pemakaman DiRaja Kampung Langgar),

(bagi saya, darah Sultan Muhammad V sebenarnya ‘mengalir’ dari tubuh Sultan Muhammad II). Ini kerana, di zaman pemerintahan Sultan Muhammad ke-II, syiar Islam mula bersinar di bumi Kelantan. Baginda telah melaksanakan beberapa bentuk Undang-Undang Islam pada akhir abad ke-19. Baginda menyedari betapa ramai rakyat Kelantan lebih gemar tidak berbaju ke sana-sini, Sultan Muhammad II telah mengarahkan rakyat jelata supaya berbaju. Bagi memastikan arahan tersebut dipatuhi, baginda telah mengarahkan pengawal supaya menunggu di tepi jalan dan menyapu belangkin (sejenis minyak tar) pada belakang mereka yang masih berdegil.

*1886-1890: Pemerintahan Paduka Sri Sultan Ahmad ibni al-Marhum Muhammad II. Merupakan anak sulung Paduka Sri Sultan Muhammad II ibni al-Marhum Tengku Temenggong Long Tan, Sultan dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Kelantan.

Sultan Muhammad ke-III

1890 – 1891: Paduka Sri Sultan Muhammad III ibni al-Marhum Sultan Ahmad [Sultan Bongsu], Sultan dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Kelantan memerintah dari tahun 1890 hingga 1891. Baginda diputerakan pada tahun 1845, baginda merupakan anak sulung Paduka Sri Sultan Ahmad ibni al-Marhum Muhammad II. Ditabalkan sebagai pewaris takhta dengan memakai gelaran Raja Kelantan pada 30 September 1887. Baginda mengambil alih takhta selepas kemangkatan ayahanda baginda pada 8 Mac 1890. Baginda ditabalkan sebagai Sultan dan Yang di-Pertuan Besar di Istana Balai Besar, Kota Bahru pada 23 September 1890. Baginda berkahwin dengan Tengku Sofia binti al-Marhum Tengku Putih, Tengku Ampuan, anak sulung Tengku Puteh ibni al-Marhum Sultan Phaya Long Muhammad, Raja Pattani. Baginda mangkat di Istana Balai Besar, Kota Bahru pada 11 Mei 1891 dan disemadikan di pemakaman Diraja Kampung Langgar.

* 1891 – 1900: Pemerintahan Paduka Sri Sultan Mansur ibni al-Marhum Sultan Ahmad Tengah [Sultan Mandul], Sultan and Yang di-Pertuan Besar of the State of Kelantan. Merupakan anak kedua Paduka Sri Sultan Ahmad ibni al-Marhum Muhammad II, Sultan dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Kelantan.

Almarhum Sultan Muhammad IV (1900-1920)

Sultan Muhammad IV

1900-1920: Paduka Sri Baginda Sultan Muhammad IV ibni al-Marhum Sultan Muhammad III, Sultan dan Yang di-Pertuan Negeri Kelantan Darul-Naim dari tahun 1900 hingga 1920. Baginda diputerakan di Kota Bharu pada 23 Mei 1870, merupakan anak sulung Paduka Sri Sultan Muhammad III ibni al-Marhum Sultan Ahmad, Sultan dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Kelantan. Ditabalkan sebagai pewaris takhta dengan gelaran Raja Muda pada 25 Julai 1898. Mengambil alih takhta pada 9 Februari 1900 sejurus dimasyhurkan sebagai Raja Kelantan dan Yang di-Pertuan, dengan memakai gelaran Yang Teramat Mulia. Kemudian baginda ditabalkan sebagai Paduka Sri Baginda Sultan Muhammad IV dengan memakai gelaran Duli Yang Maha Mulia pada 22 Jun 1911.
Dizaman pemerintahan baginda Sultan Muhammad ke-IV, baginda mengubah nama Kelantan sebagai Negeri Kelantan Dar ul-Naim pada Julai 1916. Selain itu, baginda menubuhkan Darjah Kerabat Yang Amat di-Hormati (Royal Family Order) dan Paduka Mahkota Kelantan al-Muhammad (the Order of the Crown of Kelantan of Muhammad. Baginda berkahwin dengan Nik Wan Zainab binti Nik Wan Muhammad Amin [H.H. Sultanah Zainab] pada 1888, sejurus ditabalkan sebagai Sultanah di Istana Balai Besar, Kota Bharu pada 15 Februari 1916. Baginda mangkat di Istana, Kota Bharu pada 23 Disember 1920 dan disemadikan di Pemakaman DiRaja Kampung Langgar)

Paduka Sri Sultan Ismail I ibni al-Marhum Sultan Muhammad.

*1920-1944: Pemerintahan Paduka Sri Sultan Ismail I ibni al-Marhum Sultan Muhammad IV, Sultan dan Yang di-Pertuan Negeri Kelantan Dar ul-Naim. Baginda merupakan anak sulung Paduka Sri Baginda Sultan Muhammad IV ibni al-Marhum Sultan Muhammad III, Sultan dan Yang di-Pertuan Negeri Kelantan Da’ar ul-Na’im.

Paduka Sri Sultan Ibrahim ibni al-Marhum Sultan Muhammad IV

*1944-1960: Pemerintahan Paduka Sri Sultan Ibrahim ibni al-Marhum Sultan Muhammad IV, Sultan dan Yang di-Pertuan Negeri Kelantan Dar ul-Naim. Baginda merupakan anak sulung Paduka Sri Baginda Sultan Muhammad IV ibni al-Marhum Sultan Muhammad III, Sultan dan Yang di-Pertuan Negeri Kelantan Da’ar ul-Na’im.

Paduka Sri Sultan Yahya Petra ibni al-Marhum Sultan Ibrahim

*1960-1979: Pemerintahan Paduka Sri Sultan Yahya Petra ibni al-Marhum Sultan Ibrahim, Sultan dan Yang di-Pertuan Negeri Kelantan Dar ul-Naim. Baginda merupakan anak kedua Paduka Sri Sultan Ibrahim ibni al-Marhum Sultan Muhammad IV, Sultan dan Yang di-Pertuan Negeri Kelantan Dar ul-Naim. Pada 21 September 1975, Baginda ditabalkan sebagai Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-6.

Paduka Sri Sultan Ismail Petra ibni al-Marhum Sultan Yahya Petra

*1979-2010: Pemerintahan Paduka Sri Sultan Ismail Petra ibni al-Marhum Sultan Yahya Petra. Tuanku Ismail Petra iaitu ayahanda Sultan Muhammad ke-V, yang juga putera tunggal kepada Sultan Yahya Petra Sultan Ibrahim dan Raja Perempuan Tengku Zainab II, ditabalkan sebagai Sultan Kelantan pada 30 Mac 1979, susulan kemangkatan ayahandanya ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong pada 29 Mac 1979. Tuanku Ismail Petra diputerakan pada 11 November 1949 di Istana Jahar, Kota Bharu, adalah putera tunggal dan adik bongsu lima beradik iaitu Tengku Marjan, Tengku Rozan, Tengku Salwani dan Tengku Rohani. Hasil perkahwinan baginda dengan Tengku Anis, yang mempunyai hubungan kekeluargaan tahap dua sepupu, baginda berdua dikurniakan tiga putera iaitu Tuanku Muhammad Faris Petra (Sultan Muhammad ke-V), Tengku Muhammad Faiz Petra, Tengku Muhammad Fakry serta puteri, Tengku Amalin A’Ishah Putri. Sultan Muhammad ke-V dilantik ayahanda baginda sebagai Tengku Mahkota Kelantan, pewaris takhta kerajaan pada 6 Oktober 1985, sebelum diangkat sebagai Pemangku Raja Kelantan pada 24 Mei 2009 berikutan keadaan Tuanku Ismail Petra yang gering.

Paduka Sri Sultan Muhammad V ibni Sultan Ismail Petra

Sultan Muhammad ke-V
2010-. Paduka Sri Sultan Muhammad V ibni Sultan Ismail Petra (Tengku Muhammad Faris Petra), Sultan dan Yang di-Pertuan Negeri Kelantan Da’ar ul Na’im. Baginda diputerakan di Istana Batu, Kota Bharu, Kelantan pada 6 Oktober 1969, merupakan anak sulung Paduka Sri Sultan Ismail Petra ibni al-Marhum Sultan Yahya Petra, Sultan dan Yang di-Pertuan Negeri Kelantan Da’ar ul-Na’im. Baginda di mahkotakan sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada 6 Oktober 1985. Sebelum dilantik sebagai Pemangku Raja Kelantan dengan gelaran Yang Maha Mulia pada 24 Mei 2009 akibat ketidakmampuan ayahanda baginda memerintah setelah mengalami penyakit strok yang serius. Baginda dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan pada 13 September 2010 dengan bergelar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Sri Sultan Muhammad V ibni Sultan Ismail Petra, di Balairong Sri, Istana Balai Besar, Kota Bharu.

Insya-allah, mengikut penggiliran sistem monarki di Malaysia, Baginda bakal dimasyhurkan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 14 Disember 2011 mengikut perkiraan secara rawak dan seterusnya bakal ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-15 pada 15 Disember 2016. Mudah-mudahan Allah lanjutkan usia al-Sultan Muhammad V. Allahu Akbar! Tuanku Al-Sultan pernah bertitah bahawa Baginda memikul amanah Paduka Ayahanda untuk mentadbir negeri dengan berhemah dan menjaga kebajikan rakyat jelata (sebelum ayahanda baginda gering). Pesanan itu menjadi pegangan dan prinsip hidup Tuanku Al-Sultan yang baru dan di sinilah letaknya “barakah” yang telah dikurniakan oleh Allah S.W.T. Untuk info tambahan klik di sini.

Pendidikan awal baginda bermula di Prasekolah – Tadika Fatima Convent, Kota Bharu 1974 – 1975. Selepas itu baginda meneruskan persekolahan di Sekolah Rendah Sultan Ismail 1, Kota Bharu dari tahun 1976 – 1981. Baginda menduduki kelas persediaan – The Alice Smith School, A-Level – Oakham School Rutland, England pada 1983-1989 sebelum meneruskan Pengajian Diplomatik – St Cross College dan Oxford Centre for Islamic Studies pada tahun 1989-91. Pengajian Hubungan Diplomatik dan Pentadbiran Perniagaan – Huron University College, London Pengajian Perhubungan Diplomatik – Deutsche Stiftung Internationale Entwicklung, Berlin. European Business Administration – European Business School London.

Kenali Sultan Muhammad ke-V.

Pakaian rasmi Baginda Sultan Kelantan yang baru, berjubah putih lengan pendek dan berkopiah. Acap kali tengok Baginda Sultan berpakaian sebegini semasa bertemu mata dengan rakyat jelata.. Allahuakhbar! (dulu daulat tuanku) ..mudah-mudahan keperibadian Baginda Sultan Kelantan yang berakhlak mulia menjadi ikutan Tengku Mahkota @ Raja Muda yang bakal manjadi Sultan di negeri-negeri seluruh Malaysia.

Berjubah.
Baginda sering memakai jubah atau berbaju ‘gumbang’ serta berkopiah. Baginda juga seorang imam kepada makmumnya. Pada Januari 2010, dikala ayanhanda baginda, Sultan Ismail gering, baginda sendiri telah menjadi imam kepada ribuan rakyat jelata Kelantan menunaikan solat hajat berdoa akan kesejahteraan ayahandanya. Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu menjadi saksi baginda mengimamkan solat hajat yang dihadiri lebih 1,000 rakyat negeri itu. Tuanku Muhammad Faris sudah lama diketahui rakyat sebagai putera istana yang cintakan agama dan sering menjadikan masjid sebagai lokasi utama lawatan semasa program menziarahi rakyat di seluruh negeri. Pada hari-hari biasa, Masjid Muhammadi yang merupakan Masjid Negeri adalah masjid utama tempat baginda menunaikan solat berjemaah.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad memberitahu, Tuanku Muhammad Faris sememangnya gemar mendekati golongan agama. Dedahnya, dari dahulu lagi setiap orang daripada 15 anggota Jemaah Ulama, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri sudah mempunyai nombor telefon bimbit baginda untuk kemudahan berhubung bagi memberi sebarang pandangan dan nasihat.
“Tuanku Sultan memberi nombor telefonnya kepada kami secara peribadi dan berpesan supaya menelefon baginda pada bila-bila masa jika ada perkara yang dirasakan perlu ditegur dan dinasihati. Baginda memberi peluang sebegitu terbuka kepada ahli Jemaah Ulama untuk menegur baginda secara langsung tanpa ada sebarang halangan atau protocol. “Saya tidak mengetahui jika ada ulama yang pernah menghubungi baginda khusus untuk tujuan itu tetapi begitulah istimewanya Tuanku Muhammad Faris dalam memberi pengiktirafan kepada ahli agama,” katanya. Tambahnya, baginda juga sudah beberapa kali menunaikan fardu haji dan kali terakhir menyempurnakannya pada tahun 2004. “Pengukuhan asas dan ilmu agama baginda ini sebenarnya bermula sejak baginda kecil lagi. Ia sudah menjadi tradisi keluarga diraja untuk menjemput para ulama datang ke istana negeri memberi kuliah agama.“Antara yang pernah menjadi guru kepada Tuanku adalah bekas Mufti Kelantan iaitu Allahyarham Datuk Mohd. Nor Ibrahim manakala selepasnya pula ilmuwan tersohor Allahyarham Datuk Yusoff Zaky Yaacob.

“Pelbagai aspek agama disentuh daripada bab akidah, fekah dan akhlak menerusi pembacaan kitab-kitab khusus,” kata Mohamad Shukri yang kini menyambung tugas menyampaikan kuliah agama kepada keluarga diraja. Beliau berkata, sejak dari kecil, baginda berguru mengaji al-Quran dengan seorang qari yang pernah menjulang nama negara di peringkat antarabangsa yang juga bilal ternama negeri ini iaitu Nordin Idris. Katanya, sejak bersemayam di Istana Telipot beberapa tahun ini, Tuanku Muhammad Faris tetap meneruskan amalan memanggil ulama ke istana itu dan baginda tidak meminggirkan petugas-petugas dan pegawai pengiringnya dalam majlis ilmu tersebut. “Kesemuanya dijemput hadir. Kuliah itu diadakan setiap minggu dan akan ditunda jika bertembung dengan jadual tugas Tuanku yang lain,” katanya.

Sultan Muhammad V di Masjid Telipot.

“Ambo”.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan, Tengku Mohd. Norhamzah Engku Hussin pula memberitahu, baginda seorang yang merendah diri. “Seingat saya, semasa baginda menjadi Tengku Mahkota, baginda sering menggunakan perkataan ‘ambo’ sebagai kata ganti dirinya apabila berbicara. Ia jelas melambangkan keperibadian yang merendah diri memandangkan ‘ambo’ itu berbunyi seperti hamba,” ujarnya. “Tapi apabila baginda kini bergelar sultan, mungkin baginda perlu lebih mengikuti protokol,” katanya. sambil melafazkan pertubuhannya menjunjung kasih dan taat setia kepada sultan sepenuhnya.
Ini adalah perbualan antara baginda Sultan Muhammad V dengan seorang pesakit kronik Hasnah Ibrahim dalam ziarah baginda ke rumah wanita itu di Kampung Peropok dekat Bachok, Kelantan, Ogos 2010:.. “Mak cik kena makan ubat, jangan simpan dalam rumah saja. Jangan selang-seli, kalau terasa mahu muntah pun paksa juga makan. Insya-Allah kalau mak cik makan ubat ikut jadual akan sihat mungkin tidaklah gemuk macam Datuk (Datuk Dr. Awang Adek) atau saya (baginda), tapi makin sembuhlah badan mak cik,” Ternyata gurauan baginda menggambarkan sifat dan keperibadian baginda yang terlalu merendah diri. Gurauan baginda yang ketika itu merupakan Pemangku Raja menyebabkan tetamu yang ada di rumah itu tersenyum termasuk Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussin. Mungkin itulah gambaran mudah siapakah Tuanku Muhammad Faris, 41, yang baru dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan.Mesra dan prihatin akan keadaan rakyat. Sepanjang bergelar Pemangku Raja atau Tengku Mahkota, baginda kerapkali dilihat mencemar duli menziarahi golongan miskin dan ditimpa musibah. Jika anda tidak pernah mendengar baginda bertitah.. sila klik disini & disini dan juga disini.

Pembesar Suara Azan terus dari Masjid Tepilot ke Istana Telipot.

Allahu Akbar!
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Aiseri Alias yang menjelaskan penggantian penggunaan Daulat Tuanku dengan Allahu Akbar dan penggunaan gelaran Sultan Muhammad ke V bagi diri baginda adalah atas perkenan baginda sendiri. Pembaharuan pertama yang dititahkan oleh Tuanku Muhammad Faris Petra adalah supaya seruan “Daulat Tuanku” digantikan dengan seruan “Allahu Akbar” (oleh itu, tidak berbangkit persoalan perubahan seruan ini dibuat oleh Kerajaan Kelantan). Bagaimanapun, walaupun seruan “Allahu Akbar” ini lebih sinonim dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Tuanku Muhammad Faris Petra kekal berkecuali dari segi politik di mana Baginda akan merestui setiap yang baik dari mana-mana pihak. Masih ada insan yang mempunyai kuasa ditangan, merendah diri.. tidak takbur… kerana tahu akan kekuasan Allah swt lebih dari segalanya.

Istana KDYMM Sultan Muhammad ke V, terdapat pembesar suara terus dari Masjid Telipot bagi mendengar azan solat 5 waktu dan tazkirah setiap hari, adakah sultan lain melakukan demikian atau pemimpin dunia yg lain. Gambar yang diambil dari luar istana mendapati pembesar suara dari masjid yang di sambung ke istana menaungi sekitar istana dan luar istana aktiviti seharian masjid. Ya Allah Kebesaran MU terlalu luas, tiada penghujung di antara setiap penjuru ruang dunia.

Kemesraan dan keakraban Baginda Sultan Muhammad V dengan Menteri Besar Kelantan terserlah.

  • BICARA BUAT SEORANG SULTAN
    (buat Sultan Kelantan Muhammad Faris Petra)
  • pada kerendahan dalam pakaian
    pada penampilan dalam keramaian
    perasaan tertawan kepada sang sultanpada bicara yang sederhana,
    pada gaya yang bersahaja,
    jiwa tertarik pada raja,
    moga nyata, dia payung rakyat jelata.. 

    inilah nasihat raja dan rakyat…

    raja dimulia bukan kerna singgahsana
    raja disayang bukan kerna paluan gendang
    raja diangkat bukan kerna kalimat ‘daulat’
    raja dicinta bukan kerna kuasa
    raja dihormat bukan kerna pangkat

    raja dimulia kerna takwanya,
    raja disayang kerna dia berjuang,
    raja diangkat kerna Tuhan memberkat
    raja dicinta kerna budi bahasanya,
    raja dihormat kerna kasihkan rakyat

    raja dibenci kerna buruk budi,
    raja dicerca kerna tamakkan harta,
    raja dimarah kerna dia bermewah
    raja dilupa kerna tinggalkan agama,

    apabila raja itu zuhud,
    namanya selalu disebut
    apabila raja takutkan Allah,
    sekelian rakyat jantung diserah
    apabila raja sangat sederhana,
    jiwa jelata penuh bangga,
    apabila raja kuat agama,
    dengan ikhlas rakyat berdoa..

    tuanku raja yang masih muda,
    namun ada teladan untuk semua,
    dalam persarungan penuh kerendahan,
    dalam kehidupan penuh kerakyatan,
    sayang rakyat penuh melimpah
    kepada raja kasih tertumpah

    Dr MAZA,
    160211.

Sumber di’edit’ dari pelbagai jurnal dan web:

http://royalark.net/

http://wikimapia.org/329378/Masjid-Telipot-Telipot-Mosque

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/LegasiKesultananKelantan/Article/index

http://zonfiniti.blogspot.com

http://www.malaysiakini.com/letters/156202

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0919&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm

About these ads

Written by Muhammad Ismail Ibrahim

March 14, 2011 at 11:54 AM

Posted in History

2 Responses

Subscribe to comments with RSS.

  1. subhanaallah….semoga tuhan merahmati raja muhammad faris..sultan kelantan serta rakyat2 nya.aamiin…

    amirah

    November 2, 2012 at 11:13 AM

  2. inilah kehebatan Sultan kita. Bangga jadi rakyat kelantan.

    shameel iskandar

    November 13, 2013 at 10:00 PM


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 71 other followers

%d bloggers like this: