The Kelantan Times

Writer of Life

Archive for April 2014

Warisan Syed Syeikh al-Hadi

with 3 comments

 

 

 

Image

Foto: Alijah Gordon (The Real Cry of Syed Shaykh al-Hadi)

 

Perpustakaan Utama Universiti Malaya dan Perpustakaan Peringatan Za’ba kini masih menyimpan pelbagai koleksi karya-karya lama yang dihasilkan oleh penulis-penulis prolifik di Tanah Melayu sejak dari awal abad ke-20 lagi. Sebahagian besar naskah-naskah ini telah dihasilkan dalam bentuk tulisan jawi dan rumi yang menggunakan gaya bahasa Melayu lama dan dicetak dalam bentuk paperback. Kebanyakan syarikat percetakan yang menghasilkan naskah-naskah ini sudah tidak beroperasi lagi. Antaranya The Jelutong Press, Sinaran Brothers, Mat’baah al-Asasiah Press, al-Ahliyah Press, Pustaka Dian*, Pustaka Aman Press*, Pustaka Antara* dan lain-lain lagi. (*masih beroperasi)

Kemunculan syarikat-syarikat percetakan ini merupakan hasil tindakbalas daripada kelahiran inteligensia Melayu yang baru pulang dari menuntut ilmu di Timur Tengah, terus gigih menyadarkan masyarakat Melayu yang masih hidup dalam keterpurukan dan kemunduran, dengan berkarya, menulis di akhbar-akhbar dan menterjemah hasil karya-karya dalam genre penulisan baru yang sebahagian besarnya merupakan saduran daripada sastera Perancis menerusi perantaraan Mesir. Kebanyakkan penuntut dari Tanah Melayu yang melanjutkan pelajaran atau mengadakan lawatan ke Mesir sedikit sebanyak terpengaruh dengan bentuk penulisan genre baru berbentuk novel seperti novel Zainab karya Mohamed Hussein Haikal dan pebagai lagi. Tokoh-tokoh yang telah mencipta nama sebagai antara perintis bentuk penulisan genre baru ini antaranya ialah Muhammad bin Muhammad Said (Dato’ Laksamana Kelantan), Syed Syeikh al-Hadi dan lain-lain lagi.

Novel Cherita Kecurian Lima Million Ringgit yang diterjemah oleh Dato’ Laksamana pada tahun 1922 telah dinyatakan oleh William R. Roff sebagai novel pertama seumpamanya di Tanah Melayu. Manakala sesetengah pendapat mengatakan bahawa Novel Faridah Hanum karya Syeikh Syed al-Hadi merupakan novel Melayu pertama yang dihasilkan dalam 2 penggal, 1925 dan 1926. Perbezaan ini dikatakan berpunca disebabkan oleh kesukaran pengkaji untuk meneliti samada karya tersebut merupakan karya asli, adaptasi ataupun terjemahan. Apabila saya menyatakan penulisan genre baru berbentuk novel ini, ia bukanlah sepertimana novel versi moden yang digambarkan oleh kita semua. Perlu difahami, latar masa ketika itu (circa 1900-1939) sudah semestinya berbeza dengan zaman sekarang. Penulisan yang dihasilkan oleh inteligensia-cendekia ketika itu telah dijadikan sebagai platform untuk mengekspresikan idea, melakukan kritikan sosial, mengutarakan saranan serta nasihat hasil tindakbalas persekitaran kehidupan yang dialami umat Melayu dalam era kolonial. Maka, novel-novel yang dihasilkan ketika itu tidak boleh disamaertikan dengan sebahagian besar novel-novel sekarang yang lebih berbentuk fantasi dan ‘kurang bermakna’.

Antara penulis prolifik yang telah menghasilkan banyak karya samada asli mahupun saduran ialah Syed Syeikh al-Hadi. Sebahagian besar penulis di alam maya dan alam realiti telah menulis dengan lebih lanjut berkenaan tokoh ini antaranya; Alijah Gordon (The Real Cry of Syed Shaykh al-Hady), Talib Samat (Sasterawan Progresif Melayu), Sohaimi Abd Aziz (Cendekia dan Sasterawan Ulung) dan ramai lagi. Untuk memudah dan meringkaskan pembacaan berkenaan tokoh ini, alangkah eloknya jika satu garis masa dilakukan.

1867 – Dilahirkan di Kampung Hulu, Melaka. Bapa berbangsa Arab dan berketurunan Hadaramaut. Menghabiskan zaman remaja di Melaka, Kuala Terengganu, Pulau Penyengat dan Timur Tengah.

1895 – Menerima pelajaran daripada Syeikh Muhammad Abduh (1849-1905) di Mesir ketika berusia 28 tahun. Sekembalinya, beliau berkahwin dengan sepupu, Syarifah Sheikhun binti Muhammad al-Hadi (isteri pertama) di Pulau Penyengat, Riau. Dikurniakan empat orang anak, dua lelaki dan dua perempuan.

1901 – 1911 – Ketika berusia 34 tahun, bapa angkat beliau, Raja Ali Haji Kelana telah memindahkan segala urusan syarikat Batam Brickworks (kilang batu bata) di Singapura kepada beliau menggantikan Mr. Benson.

1906 – 1908 Menerbitkan Majalah al-Imam di Singapura sekembalinya dari Timur Tengah. Majalah ini dicetak oleh Matbaah Melayu Tanjung Pagar dan kemudiannya al-Imam Printing Company Limited. Penerbitan dihentikan kerana menghadapi kesulitan kewangan.
Image

Talib Samat (Sasterawan Progresif Melayu) p.35

1907 – 1909 – Menubuhkan Madrasah al-Iqbal di Singapura yang merupakan madarasah pertama ditubuhkan oleh beliau bersama rakan-rakan seperjuangan, Syeikh Tahir Jalaluddin, Haji Abbas Mohd Taha dan Syeikh Mohamad bin Salim al-Khalali.
1909 – 1915 – Dilantik menjadi peguam di Mahkamah Syariah Johor Bahru ketika berusia 42 tahun. Beliau dilantik sebagai peguam syariah kerana jasa dan sumbangan pemikirannya yang progresif.
1915 – 1916 – Menubuhkan Madrasah al-Hadi di Melaka yang merupakan madrasah kedua ditubuhkan lanjutan daripada kegagalan madrasah pertama. Namun, madrasah kedua ini juga gagal mendapat sambutan orang Melayu Melaka.
1919 – Berhijrah ke Pulau Pinang dan menubuhkan Madrasah al-Mashoor yang merupakan madrasah ketiga bermatlamat untuk memperluas sistem pendidikan bercorak reformasi Islam.
1922 -Membukukan karya bersiri dalam Majalah al-Imam iaitu al-Tarikh al-Islami (saduran) setebal 205 halaman. Diterbitkan oleh al-Imam Printing Press.
1925 – Menghasilkan novel pertama, Faridah Hanum. Novel ini telah dicetak dalam dua penggal, 1925 dan 1926 (The Jelutong Press). Cetakan ulangan telah dilakukan pada 1964, 1965 dan 1985 (Pustaka Antara).
Image

Cetakan pertama 1925 (bawah), cetakan kedua 1964 (tengah) dan cetakan keempat 1985 (atas).

1926 – 1931 – Menerbitkan Majalah al-Ikhwan selepas memulakan langkah baru di Pulau Pinang. Dicetak oleh The British Malaya Company dan kemudiannya dicetak sendiri oleh The Jelutong Press yang dimiliki oleh beliau sendiri. Antara rencana yang dikeluarkan ialah; Teriak Yang Sebenar.

Image

Talib Samat (Sasterawan Progresif Melayu) p.41

1927 – Memulakan penghasilan karya-karya keagamaan bermula dengan judul Tafsir Juz’ Amma (saduran). Diterbitkan oleh The Jelutong Press.

1928 – Menghasilkan dua buah novel baru dan sebuah buku keagamaan, Hikayat Taman Cinta Berahi (400 halaman), Hikayat Anak Dara Ghassan (1000 halaman) dan Tafsir al-Fatihah (saduran). Diterbitkan oleh The Jelutong Press.

Hikayat Anak Dara Ghassan.

Hikayat Anak Dara Ghassan.

1928 -1934 – Di dalam tempoh ini, beliau telah menghasilkan 7 buah karya siri-siri Cerita Rokambul antaranya; 1) Cerita Rokambul dalam Jel dan di Paris (398 halaman). 2) Cerita Rokambul dalam Siberia (400 halaman). 3) Cerita Rokambul dengan Puteri Russian yang Asyik (498 halaman). 4) Cerita Rokambul dengan Korban Hindi (502 halaman). 5) Cerita Rokambul dengan Malium Kaum nur (508 halaman). 6) Cerita rokambul dengan Taman Penglipur Lara (269 halaman). 7) Cerita Rokambul dengan Perbendaharaan Hindi (509 halaman). Kesemuanya diterbitkan oleh The Jelutong Press.
Rokambul

Rokambul dengan Perbendaharaan Hindi (509 halaman)

Cerita Rokambul dengan Malium Kaum Nur (508 halaman)

Cerita Rokambul dengan Malium Kaum Nur (508 halaman)

Angan-Angan Kehidupan:

Angan-Angan Kehidupan: The Moral Trainer

1929 – Tambahan dua novel baru, Hikayat Cermin Kehidupan (604 halaman) dan Hikayat Puteri Nurul Ain (200). Diterbitkan oleh The Jelutong Press.
Hikayat Cerminan Kehidupan

Hikayat Cerminan Kehidupan

Hikayat Nurul Ain

Hikayat Puteri Nurul Ain

1930 – Tambahan sebuah buku keagamaan berjudul Alam Perempuan (saduran) hasil terjemahan buku Tahrir al-Mar’ah karya Qasim Amin. Diterbitkan oleh The Jelutong Press.
Alam Perempuan

Kitab Alam Perempuan

1931 – Karya keagamaan yang asli, Kitab Agama Islam dan Akal telah dihasilkan. Diterbitkan oleh The Jelutong Press (1931) dan Pustaka Dian Kota Bharu (1965).
K

Kitab Agama Islam dan Akal

1933 – 1934 – Melibatkan diri dengan akhbar Saudara yang dikendalikan oleh anaknya, Syed Alwi al-Hadi. Akhbar ini dicetak oleh The Jelutong Press. Pada tahun ini juga, sebuah lagi buku keagamaan berjudul Hadiah Kebangsaan (saduran) terbitan The Jelutong Press.

1934 – Syed Syeikh al-Hadi menghembuskan nafas terakhir pada malam Rabu, di rumahnya beralamat No 410, Jalan Jelutong, Mukim Jelutong, Pulau Pinang. Beliau dimakamkan di tanah perkuburan Masjid Jelutong.


Kediaman Syed Syeikh al-Hadi.

Foto: Alijah Gordon (The Real Cry of Syed Shaykh al-Hady)

Foto: Alijah Gordon (The Real Cry of Syed Shaykh al-Hady)

 

Foto: Alijah Gordon (The Real Cry of Syed Shaykh al-Hady)

Foto: Alijah Gordon (The Real Cry of Syed Shaykh al-Hady)

 

Foto: Alijah Gordon (The Real Cry of Syed Shaykh al-Hady)

Foto: Alijah Gordon (The Real Cry of Syed Shaykh al-Hady)

 

Foto: Alijah Gordon (The Real Cry of Syed Shaykh al-Hady)

Foto: Alijah Gordon (The Real Cry of Syed Shaykh al-Hady)

 

Foto terkini Kediaman Syed Syeikh al-Hadi. Kediaman ini telah dijual kepada seorang

Foto terkini Kediaman Syed Syeikh al-Hadi. Kediaman ini telah dijual kepada seorang wanita Cina untuk dijadikan sebuah Tokong.

Ini merupakan kediaman tokoh pemikir dan pembaharu umat Islam di Tanah Melayu sekitar awal abad ke-20. Selepas kematian beliau, ia telah dijual kepada seorang wanita dan sejak itu dijadikan sebuah Tokong Cina. Besar cita-cita dan harapan kita agar suatu hari nanti kediaman ini dapat tuntut semula dan dijadikan salah satu warisan khususnya dalam menerangkan kepentingan sejarah perkembangan pemikiran umat Islam di Malaysia. Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara dan Persatuan Sejarah Malaysia diharap dapat merintis usaha-usaha dalam mengembalikan warisan yang setelah sekian lama di pinggirkan. Jika Rumah Kelahiran Allahyarham Tan Sri P.Ramlee yang terletak di Jalan Tun Perak off Jalan P Ramlee, Pulau Pinang diberi dana oleh kerajaan dan dengan usahasama FINAS untuk dibaik pulih serta di jadikan sebuah memorial kerana mengenangkan sumbangan beliau dalam industri seni tanahair, kenapa tidak Syed Syeikh al-Hadi? Beliau telah menyumbang bukan sedikit dalam memberi kesedaran tentang pembaharuan pemikiran (tajdid) kepada umat Islam di Tanah Melayu. Pelbagai wacana dan forum telah dianjurkan oleh pihak universiti dan pertubuhan Islam dalam mengupas sumbangan dan peranan yang telah dimainkan oleh beliau. Sudah tiba masanya Tokoh Kaum Muda ini diberi pengiktirafan lebih-lebih lagi usaha beliau dalam mengembangkan dunia pendidikan dan keagamaan. Semoga hasrat ini dapat direalisasikan. Bi’iznillah.

 

Sumber Gambar;

  • Alijah Gordon, (ed.) The real cry of Syed Sheikh al-Hady. 1999.
  • William Roff, The Origins of Malay Nationalism, 1967.
  • Talib Samat, Sasterawan Progresif Melayu, 1992.
  • Sohaimi Abd Aziz, Cendekia dan Sasterawan Ulung, 2003.

Written by Muhammad Ismail Ibrahim

April 21, 2014 at 9:08 PM

Posted in History

Pengalaman Hidup

leave a comment »

The Challenging Times merupakan kumpulan artikel-artikel yang ditulis oleh Almarhum Tunku di dalam tahun 80-an

Challenging Times merupakan kumpulan artikel-artikel yang ditulis oleh Almarhum Tunku di dalam tahun 80-an

Unity in Diversity

Unity in Diversity, satu ungkapan yang senantiasa kedengaran khususnya di dalam negara ini dalam menerangkan konsep multi-ras, multi-budaya dan pelbagai lagi demi menjaga hubungan baik antara masyarakat pelbagai kaum berbilang bangsa dan berlainan agama. Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra (semoga Allah SWT menerima amal kebaikannya) di dalam buku beliau berjudul ‘Challenging Times’ menyatakan keinginan Raja Faisal, pemerintah kerajaan Saudi ketika itu supaya beliau dilantik sebagai Setiausaha Agung OIC yang baru sejurus meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Lantikan tersebut di buat setelah mengambil kira keupayaan dan kebolehan Almarhum Tunku menyatukan pelbagai lapisan masyarakat di Malaysia untuk hidup harmoni di dalam sebuah negara baru.

Memetik kata-kata King Faisal:

I know all about you and I am not asking you to be the imam of Islam. I know you can bring about Islamic unity“. Challenging Times. p.226

Tidak dapat dinafikan, kita perlu akui bahawa tugas untuk memimpin dunia Islam bukanlah satu tugas yang mudah, bahkan ia lebih rumit jika dibandingkan secara apple-to-apple dalam konteks Malaysia. Apa tidaknya, negara-negara Islam yang menganjur dari benua Afrika Utara hingga ke Selatan Nusantara itu kebanyakkannya baru mengecapi nikmat kemerdekaan daripada Tuan Kolonial selepas berakhir perang dunia ke-2. Kebanyakan negara-negara OIC pula mewakili umat Islam yang menganut pelbagai mazhab dan aliran dan ini sedikit sebanyak mengujikan kebijaksaan Tunku dalam memberi pandangan dan pendapat berdasarkan isu-isu semasa yang melingkari zamannya. Walau bagaimanapun, Tunku dengan pengalaman yang ada terbukti mampu menggalas tugas tersebut dengan baik.

 

Tempoh perkhidmatan beliau sebagai Perdana Menteri (1957-1970) dan Setiausaha Agung OIC (1971-1973) telah mewakili daerah pemikiran dan pendekatan yang berbeza dalam mewujudkan kesepaduan dalam kepelbagaian masyarakat Malaysia dan Dunia Islam amnya. Walaupun terdapat sesetengah pihak generasi baru tidak sependapat dengan pendekatan beliau berhubung Secular State dan beberapa isu lain, perlu diakui bahawa Tunku telah banyak menyumbang kepada Dunia Islam dan umat khususnya PERKIM dan RESEAP. Sekurang-kurangnya, walaupun kita yang dilahirkan dalam sebuah negara yang sudah merdeka tanpa merasai jerit perit kesusahan hidup yang dialami masyarakat sebelum merdeka perlulah menyelami latar masa dan merasai keadaan zaman tersebut untuk mengetahui sebab dan punca sesuatu pendekatan yang diambil oleh insan yang terdahulu dan tidak hanya ‘completely dismissed‘ mereka yang tidak sealiran dengan kita.

Bila saya membawa contoh seperti Almarhum Tunku, bukanlah bermakna saya merupakan seorang pengkagum para pejuang aliran kebangsaan, cuma mesej yang ingin saya sampaikan adalah; tidakkah boleh kita melihat sisi-sisi kebaikan yang telah dilakukan insan semasa hayatnya tanpa dinafikan beberapa kelemahan yang mesti ada selagi mana dia bernama manusia.

Memetik kata-kata Tunku:

We faced the greatest challenge to life. As a result, I took to prayer and made a study of the religion. From that moment, my life changed“. Challenging Times. p.138

 

Memahami Teks dan Konteks

Setelah mencapai kemerdekaan 57 tahun yang lalu, kita ketandusan produk-produk insaniah seperti Tunku. Negarawan ulung yang mempunyai sudut pandang yang luas dan mampu menangani kerumitan kepelbagaian ideologi dan pemikiran di awal penubuhan Malaya dengan berlapang dada. Masyarakat moden hari ini, dengan segala kecanggihan sains dan teknologi yang melingkari kehidupan ini (ujian Tuhan untuk umat zaman ini), perlu menggarap sebaik mungkin kebolehan dan kemudahan untuk menjadi seorang insan yang kritis, progresif yang Islamis. Agamawan khususnya, perlu mempunyai suatu pandangan yang rentas sempadan dalam melihat kewujudan kepelbagaian aliran yang muncul dan mempunyai penilaian yang baik terhdap sesuatu perkara yang terjadi di dalam kehidupan ini. Zaman dimana agamawan hanya perlu melihat kepada teks semata-mata sudah berlalu. Institusi dan akademi pengajian agama kita tidak perlu lagi melahirkan agamawan yang bersifat demikian. Kewujudan agamawan yang rigid dan literal dalam melihat sesuatu teks (nas) semata-mata tanpa melihat konteks akan menyebabkan kerugian kepada perkembangan umat Islam. Proses ijtihad pula perlu berlangsung secara terus-menerus dengan melihat kepada kerangka yang lebih luas dan mengambil kira pelbagai aspek supaya penyakit umat terdahulu seperti bertaqlid buta mampu dihindari.

 

Syed Syeikh al-Hadi bersama cucu beliau, Syed Muhammad bin Alwi al-Hady

Syed Syeikh al-Hadi bersama cucu beliau, Syed Muhammad bin Alwi al-Hady

Di sini, perlunya kita melihat kepada institusi-institusi yang membentuk sikap dan melahirkan pemikiran agamawan sebagai generasi penerus kesinambungan di kemudian hari. Walaupun institusi-institusi pengajian yang wujud di Tanah Melayu 100 tahun yang lalu seperti Madrasah al-Mashoor di Penang (1919) dan Madrasah Muhammadiyah di Kelantan (1917) tidak semekar seperti yang ada pada hari ini, akan tetapi generasi terdahulu telah merintis beberapa perkara di mana sebahagian besar generasi hari ini telah dan sedang menikmati hasil semaian mereka. Pelopor pemikir seperti Syed Syeikh al-Hadi (1867-1934), Abdul Kadir Adabi (1901-1944) dan Zainal Abidin Bin Ahmad @ Za’ba (1895-1973), (semoga Allah memberi ganjaran atas usaha mereka) walaupun dibangkitkan daripada kancah suasana persekitaran yang tidak kondusif di era kolonial namun masih mampu menyumbang sesuatu yang berharga kepada umat Islam di Tanah Melayu sehingga kini, ‘menggerakkan mana-mana tidur, membangkitkan mereka dari lena yang panjang’ dengan penuh hikmah dan sabar. Dan antara satu kelebihan yang ada pada generasi terdahulu yang tiada pada sisi sebahagian besar daripada kita generasi terkemudian ini dalam berdakwah menyampaikan ilmu, menegur kecacatan dan kelompongan yang berlaku di dalam masyarakat iaitu; kekurangan pengalaman hidup.

 

Abdul Kadir Adabi, wira yang tak di dendangkan.

Abdul Kadir Adabi, wira yang tak di dendangkan. Pemergiannya sewaktu usia yang masih muda merupakan satu kehilangan besar untuk kita semua.

 

Kekurangan pengalaman hidup inilah mendorong kita untuk melakukan sesuatu perkara tanpa berfikir terlebih dahulu akan akibat dan kesan yang akan dihadapi dalam menangani kepelbagaian aliran. Hal ini berlaku khususnya di universiti dan institusi pengajian agama di mana pengikut pelbagai aliran pemikiran yang sebahagian besarnya anak-anak muda yang baru mengenal dunia keilmuan. Cabaran yang kita hadapi merupakan cabaran lama yang muncul dalam versi baru. Pertembungan pengikut aliran Sufi-Salafi, Asya’ari-Madkhali dan Tradisionalis-Modernis merupakan satu ‘comeback‘ kepada apa yang berlaku hampir 100 tahun lalu di Tanah Melayu. Walaupun ianya tidak lagi dinamakan Kaum Tua atau Kaum Muda, namun sikap sesetengah mereka secara tidak langsung mewakili kelompok-kelompok tersebut. Sikap sindir-menyindir, perli-memerli dan kutuk mengutuk atas nama memperbetulkan kesilapan dalam memahami keaslian amalan agama yang terjadi di media baru saban hari adalah punca-punca lain terjadinya perpecahan dalam kalangan umat Islam. Ia diburukkan lagi oleh sikap sesetengah agamawan yang gagal memahami waqi (the understanding the reality), dan tidak dapat membezakan di antara usul fiqh (fundamental of jurisprudence) dengan furu’ (branches of jurisprudence) yang akhirnya membawa kepada tercetusnya bibit-bibit permusuhan dalam kalangan pengikut.
Almarhum Prof Dr Hamka, insan kebangsaan seluruh Nusantara.

Almarhum Prof Dr Hamka, insan kebanggaan seluruh Nusantara.

 

Bersederhanalah

Bersederhanalah dan berlapang dada lah. Selagi mana aliran pemikiran mana-mana kelompok (schools of thought) masih berada di dataran sunnah, yakni masih terikat dan berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah dan selagi mana ia tidak melampaui batas-batas agama (exaggeration), maka bersederhana lah. Tanganilah jiwa muda yang sedang bergelojak dan membara di kala usia muda sebegini. Contohi lah kelunakan Imam as-Syafi’e (767-820) dan kelembutan Imam al-Ghazali (1058-1111) rahimahullahu anhum dalam menyampaikan ilmu kepada sasaran dakwah mereka. Dan adalah sesuatu yang baik juga rasanya jika kita mengambil pedoman daripada kesederhanaan Almarhum Prof Dr. Haji Abdul Malik Bin Abdul Karim Amrullah atau Buya Hamka di dalam menangani kepelbagaian aliran pemikiran dalam kehidupan beragama. Selain karya ulung Tafsir al-Azhar dan lain-lainnya, karya beliau yang berjudul Falsafah Hidup merupakan karya yang menjadi inti kepada kesederhanaan dalam melihat kepelbagaian pemikiran yang muncul dalam kehidupan. Almarhum Buya Hamka tidak hanya menegur apa-apa yang difikirnya tidak betul dalam masyarakat sebaliknya turut memberi penawar untuk merawatnya sebagai contoh karya beliau yang berjudul Tasawuf Moden, sebuah buku yang menerangkan ciri-ciri sebenar amalan Tasawuf hasil reaksi beliau terhadap beberapa amalan tarikat sufi yang menyeleweng di Indonesia.

Di dalam konteks universiti di Malaysia, samada mahasiswa-mahsiswi tergolong baik dalam kumpulan harakah mahupun dakwah, masing-masing ingin mencari redha Allah menerusi jalan dan gerak kerja yang berbeza menurut kesesuaian kebolehan mereka dalam usaha untuk sampai kepada matlamat yang ingin dituju. Samada mereka mewakili Jama’at Tabligh atau pun IKRAM, PEMBINA dan lain -lain pertubuhan dakwah, masing-masing menyimpan walau sekelumit cita-cita untuk menyahut seruan berdakwah. Dan jika seseorang itu meminati kelancaran al-Habib Ali Zaenal Abidin ketika memberi tausiyah, mereka pergi ke Masjid Muadz Bin Jabal di Setiawangsa manakala kepada yang ingin mendengar ulasan-ulasan agama yang kontemporari oleh Prof Dato’ Dr Asri Zainul Abidin, maka mereka boleh menuju ke KGPA di Damansara. Bagi yang berminat mendengar ulasan speaker-speaker dari luar negara boleh menghadiri program-program yang dianjurkan oleh al-Maghrib Institute atau al-Kauthar Institute seperti Ilm’ Fest dan Twins of Faith. Maka tidak perlu lah satu pihak merendahkan kumpulan pihak yang lain yang tidak sependapat dengan mereka. Kutiplah ilmu dari mana-mana daerah sekalipun asalkan ia masih tidak melencong dari dua jalan asal iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Maka amat rugilah jika kita terlalu fanatik terhadap satu aliran dengan mengenepikan aliran yang lain dengan meninggalkan sebahagian besar khazanah ilmu yang tersimpan dalam aliran tersebut.

Ambil lah mana-mana ilmu yang bermanfaat, dan tinggallah mana-mana yang tidak perlu.

**Artikel ini juga telah disiarkan di The Malaysia Insider bertajuk Kesepaduan Dalam Kepelbagaian Aliran.
 

Written by Muhammad Ismail Ibrahim

April 16, 2014 at 4:45 PM

Posted in Education

Alhamdulillah! Saya kembali.

with 3 comments

 

Alhamdulillah ! Alhamdulillah ! Alhamdulillah !

Setelah lebih daripada setahun saya meninggalkan bidang penulisan di The Kelantan Times, dengan nikmat kesihatan akal dan kelapangan masa yang dikurniakan Allah SWT, hari ini saya mengambil keputusan untuk kembali menulis. Kotak e-mail dipenuhi dengan berpuluh-puluh pertanyaan-persoalan daripada netizens yang meminta supaya meneruskan ‘Press’ ini. Berpuluh-puluh draft artikel masih tergantung, juga komentar-komentar pengunjung setia yang tidak sempat di balas, saya memohon ribuan kemaafan.

Saya mengambil  keputusan untuk ‘bercuti’ lebih daripada setahun tersebut disebabkan ingin menumpukan sepenuhnya terhadap pengajian tahun akhir di Universiti Malaya. Diharapkan, dalam tempoh berbaki ini (insya-allah sebelum melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana di Warwick, U.K) saya dapat memanfaatkan ruang dan peluang untuk cuba menyiapkan bebarapa draft artikel yang masih tergantung. Di dalam artikel-artikel yang seterusnya, beberapa skop baru akan ditampilkan dalam penulisan khususnya berkaitan tokoh-tokoh, kesusasteraan, pendidikan dan keagamaan.

Memetik kata-kata sahabat; “Di saat insan tersungkur di dalam kehidupan, ia pantas bangkit untuk terus mara. Beberapa perkara yang terjadi dalam kehidupan ini dengan takdir-Nya tidak akan melemahkan semangat insan sebaliknya menguatkan tekad dan meneguhkan azam untuk meneruskan cita-cita, meneruskan sisa-sisa kehidupan untuk berbakti. Kerana kejatuhan itu, insan memilih untuk bangun!”

 

Written by Muhammad Ismail Ibrahim

April 3, 2014 at 7:22 PM

Posted in News