The Kelantan Times

Membangun Bersama Islam

Pengalaman Hidup

leave a comment »

The Challenging Times merupakan kumpulan artikel-artikel yang ditulis oleh Almarhum Tunku di dalam tahun 80-an

Challenging Times merupakan kumpulan artikel-artikel yang ditulis oleh Almarhum Tunku di dalam tahun 80-an

Unity in Diversity

Unity in Diversity, satu ungkapan yang senantiasa kedengaran khususnya di dalam negara ini dalam menerangkan konsep multi-ras, multi-budaya dan pelbagai lagi demi menjaga hubungan baik antara masyarakat pelbagai kaum berbilang bangsa dan berlainan agama. Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra (semoga Allah SWT menerima amal kebaikannya) di dalam buku beliau berjudul ‘Challenging Times’ menyatakan keinginan Raja Faisal, pemerintah kerajaan Saudi ketika itu supaya beliau dilantik sebagai Setiausaha Agung OIC yang baru sejurus meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Lantikan tersebut di buat setelah mengambil kira keupayaan dan kebolehan Almarhum Tunku menyatukan pelbagai lapisan masyarakat di Malaysia untuk hidup harmoni di dalam sebuah negara baru.

Memetik kata-kata King Faisal:

I know all about you and I am not asking you to be the imam of Islam. I know you can bring about Islamic unity“. Challenging Times. p.226

Tidak dapat dinafikan, kita perlu akui bahawa tugas untuk memimpin dunia Islam bukanlah satu tugas yang mudah, bahkan ia lebih rumit jika dibandingkan secara apple-to-apple dalam konteks Malaysia. Apa tidaknya, negara-negara Islam yang menganjur dari benua Afrika Utara hingga ke Selatan Nusantara itu kebanyakkannya baru mengecapi nikmat kemerdekaan daripada Tuan Kolonial selepas berakhir perang dunia ke-2. Kebanyakan negara-negara OIC pula mewakili umat Islam yang menganut pelbagai mazhab dan aliran dan ini sedikit sebanyak mengujikan kebijaksaan Tunku dalam memberi pandangan dan pendapat berdasarkan isu-isu semasa yang melingkari zamannya. Walau bagaimanapun, Tunku dengan pengalaman yang ada terbukti mampu menggalas tugas tersebut dengan baik.

 

Tempoh perkhidmatan beliau sebagai Perdana Menteri (1957-1970) dan Setiausaha Agung OIC (1971-1973) telah mewakili daerah pemikiran dan pendekatan yang berbeza dalam mewujudkan kesepaduan dalam kepelbagaian masyarakat Malaysia dan Dunia Islam amnya. Walaupun terdapat sesetengah pihak generasi baru tidak sependapat dengan pendekatan beliau berhubung Secular State dan beberapa isu lain, perlu diakui bahawa Tunku telah banyak menyumbang kepada Dunia Islam dan umat khususnya PERKIM dan RESEAP. Sekurang-kurangnya, walaupun kita yang dilahirkan dalam sebuah negara yang sudah merdeka tanpa merasai jerit perit kesusahan hidup yang dialami masyarakat sebelum merdeka perlulah menyelami latar masa dan merasai keadaan zaman tersebut untuk mengetahui sebab dan punca sesuatu pendekatan yang diambil oleh insan yang terdahulu dan tidak hanya ‘completely dismissed‘ mereka yang tidak sealiran dengan kita.

Bila saya membawa contoh seperti Almarhum Tunku, bukanlah bermakna saya merupakan seorang pengkagum para pejuang aliran kebangsaan, cuma mesej yang ingin saya sampaikan adalah; tidakkah boleh kita melihat sisi-sisi kebaikan yang telah dilakukan insan semasa hayatnya tanpa dinafikan beberapa kelemahan yang mesti ada selagi mana dia bernama manusia.

Memetik kata-kata Tunku:

We faced the greatest challenge to life. As a result, I took to prayer and made a study of the religion. From that moment, my life changed“. Challenging Times. p.138

 

Memahami Teks dan Konteks

Setelah mencapai kemerdekaan 57 tahun yang lalu, kita ketandusan produk-produk insaniah seperti Tunku. Negarawan ulung yang mempunyai sudut pandang yang luas dan mampu menangani kerumitan kepelbagaian ideologi dan pemikiran di awal penubuhan Malaya dengan berlapang dada. Masyarakat moden hari ini, dengan segala kecanggihan sains dan teknologi yang melingkari kehidupan ini (ujian Tuhan untuk umat zaman ini), perlu menggarap sebaik mungkin kebolehan dan kemudahan untuk menjadi seorang insan yang kritis, progresif yang Islamis. Agamawan khususnya, perlu mempunyai suatu pandangan yang rentas sempadan dalam melihat kewujudan kepelbagaian aliran yang muncul dan mempunyai penilaian yang baik terhdap sesuatu perkara yang terjadi di dalam kehidupan ini. Zaman dimana agamawan hanya perlu melihat kepada teks semata-mata sudah berlalu. Institusi dan akademi pengajian agama kita tidak perlu lagi melahirkan agamawan yang bersifat demikian. Kewujudan agamawan yang rigid dan literal dalam melihat sesuatu teks (nas) semata-mata tanpa melihat konteks akan menyebabkan kerugian kepada perkembangan umat Islam. Proses ijtihad pula perlu berlangsung secara terus-menerus dengan melihat kepada kerangka yang lebih luas dan mengambil kira pelbagai aspek supaya penyakit umat terdahulu seperti bertaqlid buta mampu dihindari.

 

Syed Syeikh al-Hadi bersama cucu beliau, Syed Muhammad bin Alwi al-Hady

Syed Syeikh al-Hadi bersama cucu beliau, Syed Muhammad bin Alwi al-Hady

Di sini, perlunya kita melihat kepada institusi-institusi yang membentuk sikap dan melahirkan pemikiran agamawan sebagai generasi penerus kesinambungan di kemudian hari. Walaupun institusi-institusi pengajian yang wujud di Tanah Melayu 100 tahun yang lalu seperti Madrasah al-Mashoor di Penang (1919) dan Madrasah Muhammadiyah di Kelantan (1917) tidak semekar seperti yang ada pada hari ini, akan tetapi generasi terdahulu telah merintis beberapa perkara di mana sebahagian besar generasi hari ini telah dan sedang menikmati hasil semaian mereka. Pelopor pemikir seperti Syed Syeikh al-Hadi (1867-1934), Abdul Kadir Adabi (1901-1944) dan Zainal Abidin Bin Ahmad @ Za’ba (1895-1973), (semoga Allah memberi ganjaran atas usaha mereka) walaupun dibangkitkan daripada kancah suasana persekitaran yang tidak kondusif di era kolonial namun masih mampu menyumbang sesuatu yang berharga kepada umat Islam di Tanah Melayu sehingga kini, ‘menggerakkan mana-mana tidur, membangkitkan mereka dari lena yang panjang’ dengan penuh hikmah dan sabar. Dan antara satu kelebihan yang ada pada generasi terdahulu yang tiada pada sisi sebahagian besar daripada kita generasi terkemudian ini dalam berdakwah menyampaikan ilmu, menegur kecacatan dan kelompongan yang berlaku di dalam masyarakat iaitu; kekurangan pengalaman hidup.

 

Abdul Kadir Adabi, wira yang tak di dendangkan.

Abdul Kadir Adabi, wira yang tak di dendangkan. Pemergiannya sewaktu usia yang masih muda merupakan satu kehilangan besar untuk kita semua.

 

Kekurangan pengalaman hidup inilah mendorong kita untuk melakukan sesuatu perkara tanpa berfikir terlebih dahulu akan akibat dan kesan yang akan dihadapi dalam menangani kepelbagaian aliran. Hal ini berlaku khususnya di universiti dan institusi pengajian agama di mana pengikut pelbagai aliran pemikiran yang sebahagian besarnya anak-anak muda yang baru mengenal dunia keilmuan. Cabaran yang kita hadapi merupakan cabaran lama yang muncul dalam versi baru. Pertembungan pengikut aliran Sufi-Salafi, Asya’ari-Madkhali dan Tradisionalis-Modernis merupakan satu ‘comeback‘ kepada apa yang berlaku hampir 100 tahun lalu di Tanah Melayu. Walaupun ianya tidak lagi dinamakan Kaum Tua atau Kaum Muda, namun sikap sesetengah mereka secara tidak langsung mewakili kelompok-kelompok tersebut. Sikap sindir-menyindir, perli-memerli dan kutuk mengutuk atas nama memperbetulkan kesilapan dalam memahami keaslian amalan agama yang terjadi di media baru saban hari adalah punca-punca lain terjadinya perpecahan dalam kalangan umat Islam. Ia diburukkan lagi oleh sikap sesetengah agamawan yang gagal memahami waqi (the understanding the reality), dan tidak dapat membezakan di antara usul fiqh (fundamental of jurisprudence) dengan furu’ (branches of jurisprudence) yang akhirnya membawa kepada tercetusnya bibit-bibit permusuhan dalam kalangan pengikut.
Almarhum Prof Dr Hamka, insan kebangsaan seluruh Nusantara.

Almarhum Prof Dr Hamka, insan kebanggaan seluruh Nusantara.

 

Bersederhanalah

Bersederhanalah dan berlapang dada lah. Selagi mana aliran pemikiran mana-mana kelompok (schools of thought) masih berada di dataran sunnah, yakni masih terikat dan berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah dan selagi mana ia tidak melampaui batas-batas agama (exaggeration), maka bersederhana lah. Tanganilah jiwa muda yang sedang bergelojak dan membara di kala usia muda sebegini. Contohi lah kelunakan Imam as-Syafi’e (767-820) dan kelembutan Imam al-Ghazali (1058-1111) rahimahullahu anhum dalam menyampaikan ilmu kepada sasaran dakwah mereka. Dan adalah sesuatu yang baik juga rasanya jika kita mengambil pedoman daripada kesederhanaan Almarhum Prof Dr. Haji Abdul Malik Bin Abdul Karim Amrullah atau Buya Hamka di dalam menangani kepelbagaian aliran pemikiran dalam kehidupan beragama. Selain karya ulung Tafsir al-Azhar dan lain-lainnya, karya beliau yang berjudul Falsafah Hidup merupakan karya yang menjadi inti kepada kesederhanaan dalam melihat kepelbagaian pemikiran yang muncul dalam kehidupan. Almarhum Buya Hamka tidak hanya menegur apa-apa yang difikirnya tidak betul dalam masyarakat sebaliknya turut memberi penawar untuk merawatnya sebagai contoh karya beliau yang berjudul Tasawuf Moden, sebuah buku yang menerangkan ciri-ciri sebenar amalan Tasawuf hasil reaksi beliau terhadap beberapa amalan tarikat sufi yang menyeleweng di Indonesia.

Di dalam konteks universiti di Malaysia, samada mahasiswa-mahsiswi tergolong baik dalam kumpulan harakah mahupun dakwah, masing-masing ingin mencari redha Allah menerusi jalan dan gerak kerja yang berbeza menurut kesesuaian kebolehan mereka dalam usaha untuk sampai kepada matlamat yang ingin dituju. Samada mereka mewakili Jama’at Tabligh atau pun IKRAM, PEMBINA dan lain -lain pertubuhan dakwah, masing-masing menyimpan walau sekelumit cita-cita untuk menyahut seruan berdakwah. Dan jika seseorang itu meminati kelancaran al-Habib Ali Zaenal Abidin ketika memberi tausiyah, mereka pergi ke Masjid Muadz Bin Jabal di Setiawangsa manakala kepada yang ingin mendengar ulasan-ulasan agama yang kontemporari oleh Prof Dato’ Dr Asri Zainul Abidin, maka mereka boleh menuju ke KGPA di Damansara. Bagi yang berminat mendengar ulasan speaker-speaker dari luar negara boleh menghadiri program-program yang dianjurkan oleh al-Maghrib Institute atau al-Kauthar Institute seperti Ilm’ Fest dan Twins of Faith. Maka tidak perlu lah satu pihak merendahkan kumpulan pihak yang lain yang tidak sependapat dengan mereka. Kutiplah ilmu dari mana-mana daerah sekalipun asalkan ia masih tidak melencong dari dua jalan asal iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Maka amat rugilah jika kita terlalu fanatik terhadap satu aliran dengan mengenepikan aliran yang lain dengan meninggalkan sebahagian besar khazanah ilmu yang tersimpan dalam aliran tersebut.

Ambil lah mana-mana ilmu yang bermanfaat, dan tinggallah mana-mana yang tidak perlu.

**Artikel ini juga telah disiarkan di The Malaysia Insider bertajuk Kesepaduan Dalam Kepelbagaian Aliran.
 

Written by Muhammad Ismail Ibrahim

April 16, 2014 at 4:45 PM

Posted in Education

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: