The Kelantan Times

Membangun Bersama Islam

Karya-Karya Abdul Kadir Adabi

with 2 comments

Foto Abdul Kadir Adabi bin Ahmad sewaktu di usia 30-an

Foto Abdul Kadir Adabi bin Ahmad sewaktu di usia 30-an ditahun 1930-an

Satu perkembangan yang sangat menarik perhatian di Kelantan dalam tahun-tahun 1930-an ialah adanya usaha yang bersungguh-sungguh untuk menerbitkan novel-novel berbahasa Melayu. Sekurang-kurangnya sepuluh buah novel diterbitkan di Kelantan dalam bentuk buku sepanjang tahun-tahun tersebut. Usaha ini dilakukan oleh Haji Ahmad bin Ismail (1899-1969) melalui penerbitannya al-Matba’ah al-Asasiah di Kota Bharu. Beliau yang bertindak sebagai pengarang dan penerbit telah menerbitkan majalah al-Hidayah (1923-1926) dan al-Hikmah (1934-1941) untuk sasaran pembaca terutamanya pembaca di Kelantan. Sehubungan itu, beliau telah melantik Abdul Kadir Adabi bin Ahmad sebagai penyunting.

Sebelum Abdul Kadir Adabi menjadi penyunting al-Hikmah, beliau merupakan seorang penulis yang giat menulis di dalam pelbagai majalah terutamanya Majalah Pengasuh. Sepanjang tahun 1921-1941, beliau telah menghasilkan tidak kurang daripada 110 buah karya/rencana dalam pelbagai lapangan meliputi kritikan sosial, soal ekonomi, politik, pendidikan dan agama. Rencana-rencananya yang bersifat kontroversial sangat mendapat perhatian yang mendalam dari golongan establishment Kelantan. (S. Othman Kelantan)

Naskah sulung Pengasuh

Naskah sulung Pengasuh yang diterbitkan pada tahun 1918. Tok Kenali dilantik sebagai pengarang yang pertama.

Selain daripada majalah Pengasuh dan al-Hikmah, Abdul Kadir Adabi turut mencurahkan tulisannya dalam majalah lain seperti Edaran, Kencana dan Putera. Walaupun beliau banyak menulis rencana berkaitan kemasyarakatan namun bakat sebagai penulis kreatif turut terserlah dengan terhasilnya 3 buah novel bermula dengan Acuman Mahkota. Novel ini merupakan novel beliau yang pertama yang disiarkan secara bersiri dalam majalah al-Hikmah, bermula dari tahun ketiga penerbitan (bilangan 131, bertarikh 18 Mac 1937) hinggalah tahun kelima penerbitan (bilangan 191, bertarikh 12 Mei 1938) iaitu sebanyak 61 siri keseluruhannya. Sehinggalah pada tahun 1988, tulisan bersiri di dalam majalah al-Hikmah ini kemudiannya diselenggara dan telah dibukukan oleh Sasterawan Negara, S. Othman Kelantan. Novel Acuman Mahkota cetakan pertama pada tahun 1988 telah diterbitkan oleh Teks Publishing Sdn Bhd mengandungi 585 muka surat.

Novel beliau yang kedua, iaitu Sebelas Rejab juga disiarkan di dalam Majalah al-Hikmah secara bersiri pada tahun kelima penerbitan iaitu bermula pada (bilangan 219, bertarikh 24 November 1938) hingga (bilangan 237, bertarikh 30 Mac 1939) iaitu sebanyak 19 siri. Karya bersiri ini juga telah dibukukan pada tahun 1980 atas inisiatif Dewan Bahasa dan Pustaka iaitu sebanyak 176 muka surat. Begitu juga novel ketiga beliau iaitu Melati Kota Bharu yang disiarkan di dalam Majalah al-Hikmah bermula dari tahun keenam penerbitan, pada (bilangan 272, bertarikh 30 November 1939) sehingga tahun ketujuh penerbitan pada (bilangan 301, bertarikh 29 Jun 1940) sebanyak 30 siri keseluruhannya. Novel ini juga diselenggara oleh S. Othman Kelantan pada tahun 1988 dan dicetak buat kali kedua pada 1992 terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Pada tahun  2011, Institut Terjemahan & Bahasa Malaysia (ITBM) telah menterjemahkan novel ini ke dalam bahasa Inggeris yang berjudul The Jasmine of Kota Bharu. Selain itu, Abdul Kadir Adabi turut menghasilkan dua buah cerpen/novel saduran iaitu Ceritera Anusyirwan (1929) dan Persemburan Darah di Bawah Lipatan Takdir (1940-1941).

Karya-karya Abdul Kadir Adabi

Karya-karya Abdul Kadir Adabi

Sebelum kita mengetahui dan memahami sesuatu unsur atau elemen yang digarap oleh seseorang penulis di dalam sesebuah novel, perlu dijelaskan juga bahawa novel yang dihasilkan ketika itu adalah tidak sebagaimana yang difahami dalam erti kata novel moden hari ini. Novel yang dihasilkan pada awal abad ke-20 merupakan hasil pengamatan dan kesedaran yang timbul daripada latar masa dan tempat di mana seseorang penulis dipengaruhi untuk menterjemahkan fikiran dan pendapat dalam karya masing-masing.

Semua novel Melayu sebelum perang bersifat didaktik. Ini adalah ciri yang menonjol bagi novel-novel zaman ini. Begitu pun teknik yang digunakan berlainan dan pencapaian dari masing-masing pengarang juga berlainan peringkat. Dalam bentuk yang lebih sederhana, pengarang muncul dari tengah-tengah ceritanya untuk memberikan ceramah kepada pembacanya. Dalam bentuk lain, barangkali dapat dikatakan lebih maju, pengarang menciptakan watak-watak ideal untuk menjadi contoh tauladan dari pandangan moralnya. (A. Bakar Hamid)

Maka, penulis menggunakan peluang yang ada untuk menerapkan pelbagai elemen seperti nasihat, saranan dan seruan kepada masyarakat terutamanya kaum pembaca sebagai salah satu bentuk Dakwah bil Kitabah menurut kesesuaian masa tersebut. Oleh yang demikian, novel novel yang terhasil sangat bermanfaat, baik untuk generasi hari ini dan juga yang terkemudian untuk mengambil pelajaran dan nasihat kehidupan seperti mana juga novel-novel yang dihasilkan oleh Prof Dr Hamka seperti Keadilan Ilahi, Terusir dan Merantau ke Deli.

Saya tidaklah berhajat untuk mengambil masa pembaca dengan menceritakan serba sedikit berkenaan biografi dan pemikiran Abdul Kadir Adabi, saya pasti sudah ada insan lain yang menukilkannya di dalam laman sesawang masing-masing, cukuplah di sini sekadar mengambil beberapa mutiara kata untuk dimanfaatkan bersama di dalam menempuh hidup.

Di dalam ketiga-tiga buah novel ini, beliau telah memuatkan kata-kata peringatan di awal tulisan yang berbunyi;

Bahawa riwayat-riwayat yang berguna itu sayugialah dihidangkan kepada pengetahuan dan pandangan orang-orang yang kasihkan faedah mutlaah dan membaca. Maka demikianlah tujuan saya menzahirkan riwayat ini, mudah-mudahan mendapatlah daripadanya sedikit sebanyak munafaatnya. Kepada Allah jua saya memohon petunjuk dan pertolongan. Allahumma amin“.

Kata mutlaah memberikan petunjuk bahawa cerita ini bukan untuk dibaca sebagai cerita sahaja tapi untuk diteliti lebih mendalam lagi untuk mendapatkan faedah daripadanya. Abdul Kadir Adabi tidak berfalsafah dan berkuliah di dalam novelnya. Ia hanya memperlihatkan watak-wataknya begerak dan berinteraksi di antara satu sama lain. Dengan perkataan lain, beliau berhasil menyebatikan nilai-nilai moralnya ke dalam sesebuah cerita.

Di sini saya turunkan beberapa petikan, nasihat-nasihat berguna di dalam kehidupan dari novel-novel Abdul Kadir Adabi.

1) Acuman Mahkota.

Novel ini mengisahkan konflik perebutan kuasa, pertentangan fikiran dan pergolakan politik khususnya melibatkan golongan istana yang terjadi daripada suatu kenyataan sejarah pada awal abad ke-18 di zaman Long Abdul Rahman memerintah Kelantan. Hassan, seorang anak muda yang bertindak selaku pemegang watak utama berperanan menumpaskan musuh istana. Novel ini turut memperlihat peranan wanita yang turut terlibat dalam konflik istana melalui watak Zainab atau nama sebenarnya Tuan Kembang yang memainkan peranan penting untuk menaik dan menjatuhkan kerajaan Kelantan.

 

Memanda berpendapat pada hal-ehwal hidup yang telah memanda rasai sendiri bahawa punca kebahagiaan dan keselamatan di dalam kehidupan itu sekurang-kurangnya hendaklah ada baik budi bahasa yang menarikkan kesukaan orang kepada kita. Sanya adalah budi bahasa yang halus manusia di atas itulah yang amat dipandang orang. Biar pun bagaimana adanya pangkat kebesaran kita, atau kekayaan kalau tiada baik budi bahasa, maka tiadalah dipandang orang dan tidak malu segan melainkan dihina“.

Apabila berkata-kata maka termestilah memeliharakan lidah, iaitu sebelum daripada mengeluarkan perkataan itu hendaklah berfikir-fikir dahulu. Janganlah biasa berkata-kata dengan tiada berfikir apa-apa. Ingatlah selalu bahawa perkataan itu anak panah dan lidah itu busurnya, apabila terlepas ia maka tiadalah boleh dikembalikan lagi, dan apabila ia menikam kepada hati orang yang lain maka lukalah hati orang itu“.

Sesungguhnya kita sendiri, ayhai anakanda, tidaklah sedar yang diri kita sedang berjalan ke akhirat. Jikalau kita tidak selalu-selalu mengingati kepadanya yang kita pada tiap-tiap saat itu telah melangkah menuju ke tempat yang akhir itu, semakin hari adalah kita semakin dekat kepadanya“.

Hidup kita ini hanya jalan atau tempat singgah di dalam perjalanan kita kembali tempat kediaman kita yang kekal. Maka tempat yang kekal itu ialah akhirat itulah, sebabnya dunia itu dinamakan negeri yang fana dan akhirat itu negeri yang baqa. Dan itulah sebabnya tiap-tiap seorang manusia itu dituntut mengetahui jalan ke akhirat  supaya berbekal di dalam dunia ini mula pula ke negeri yang bawa dengan tiada kurang dan rugi“.

Dan lagi seorang yang ada berilmu tetapi tiada menggunakan ilmu itu bila-bila merasai rajin sahaja ilmu digunakan dan bila datang malasnya ditinggalkannya, sesungguhnya itulah orang yang khianatkan keuntungan diri sendiri.”

Dan selain daripada itu pula adalah sekuat-kuat pesanan memanda bahawa jangan sekali-kali mengkhianatkan manusia walaupun pada jalan meluluskan tujuan. Kerana bahawasanya khianat itu daripada syaitan. Adapun menyampaikan dan menjayakan barang yang diingin-ingin oleh manusia itu hanya Tuhan jua“.

2) Sebelas Rejab.

Novel ini mengisahkan konflik rumahtangga yang terjadi di antara suami isteri, Sulaiman dan Rafeah bersama anaknya, Mamat dengan campur tangan seorang orang luar bernama Jalal. Sulaiman telah digambarkan sebagai seorang suami yang tidak bertanggungjawab dan kurang bijaksana dalam menguruskan rumahtangga akibat daripada pengaruh yang ditanamkan oleh Jalal, seorang outsider yang bertindak sebagai seorang kawan makan kawan, yang tamakkan harta, ingin merampasnya daripada kawan baiknya. Dengan kelicikannya, Jalal memainkan jarum halus, menawan hati Rafeah yang akhirnya menyebabkan rumahtangga Sulaiman dan Rafeah retak. Jalal berhasil mengahwini Rafeah dan membolot tanah dan harta yang ditinggalkan Sulaiman. Perbuatan ini mendapat balasan di akhir cerita di mana Mamat, bertindak sebagai hero, membalas perbuatan Jalal terhadap orang tuanya.

Novel ini mengisahkan konflik rumahtangga yang terjadi di antara suami isteri, Sulaiman dan Rafeah bersama anaknya, Mamat dengan campur tangan seorang orang luar bernama Jalal. Sulaiman telah digambarkan sebagai seorang suami yang tidak bertanggungjawab dan kurang bijaksana dalam menguruskan rumahtangga akibat daripada pengaruh yang ditanamkan oleh Jalal, seorang outsider yang bertindak sebagai seorang kawan makan kawan, yang tamakkan harta, ingin merampasnya daripada kawan baiknya. Dengan kelicikannya, Jalal memainkan jarum halus, menawan hati Rafeah yang akhirnya menyebabkan rumahtangga Sulaiman dan Rafeah retak. Jalal berhasil mengahwini Rafeah dan membolot tanah dan harta yang ditinggalkan Sulaiman. Perbuatan ini mendapat balasan di akhir cerita di mana Mamat, bertindak sebagai hero, membalas perbuatan Jalal terhadap orang tuanya.

“Bukankah baik beringat berjaga daripada marabahaya itu sebelum dia mendatangi kita kerana pesanan orang-orang tua ‘sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada berguna’ itu bukan sahaja ia benar, bertambah lagi di atas kebenaran itu telah banyak orang-orang yang telah menyesalkan lupa lalainya kemudian daripada balak bencana mendatangi dia pada hal kesesalanya itu telah menjadi sia-sia belaka”.

“Tetapi aduhai malangnya kehidupan orang yang lurus yang berharapkan sahabat handai yang khianat dan berhaluba tamakkan bagi faedah dan kemauan nafsunya sendiri”.
“Maka sekaranglah baharu aku mengetahui dan aku sedar bahawa Allah dan Rasul (SAW) itu mengamanahkan perempuan kepada laki-laki dan anak itu kepada ibu bapanya supaya berhidup di dalam sentosa dan bahagia”

“Bala bencana itu jika tiada terbit daripada kita sendiri adalah diterbitkan daripada orang yang berkehendakkan sesuatu faedahnya…”
“Bahawa tanah yang tidak diusahakan itu tiada ubahnya daripada sekeping batu yang mati dan orang yang tidak mengusahakan tanah-tanahnya itu tidaklah ubahnya daripada haiwan yang di cerang dan hutan rimba itu sama kepada mereka itu mempunyai tanah-tanah dengan tidaknya…”

“Aku telah percaya buta-buta kepada laki-laki ini tetapi biarlah aku diam dahulu aku datang bila aku sembuh daripada demam ini tidaklah wajib berserah tuli kepadanya kerana bagiku ada anak yang tunggal dan ia pun telah hampir-hampir boleh diperbuat berkira dan patut pula ia mengetahui sedikit sebanyak akan harta punya ibunya sendiri”
 
“Orang-orang tua daripada kita selalu berkata ‘mengharapkan kasih sayang yang sejati daripada manusia itu tidaklah jauh daripada mengharapkan bulan jatuh ke riba’, kenait (ibarat) daripada seolah-olah mustahil dapatnya dalam pada itu pun tak baik seseorang itu berputus asa, kerana kasih dan benci seorang kepada seorang itu di tangan Allah semata-mata”.

“Berkehendakkan orang muda kerana mengharapkan akan dikurnia Allah baginya anak, tubuh yang telah tua, harta pun ada apabila mati dengan tiada meningggalkan anak yang boleh mewarisinya tentulah harta itu akan berselerakkan dengan tiada tentu halanya dan anak itu ialah sebaik-baik pertolongan kepada ruh orang yang mati yang diharapkan mendoakan baginya apabila jasad terbenam ke dalam tanah perkuburan”.

“Berkehendakkan perempuan yang beriman kepada Allah dan Rasul supaya apabila dikurnia Allah anak daripadanya diharapkan anak yang saleh yang berbakti kepada ibu bapa dan hamba Allah sekalian, dan daripadanya menghidupkan nama baka keturunannya di dalam pergaulan hidup orang-orang di muka bumi, yang demikian diharapkan tidaklah menjadi sia-sia sahaja seperti kebanyakan anak yang telah  diperanakkan ke dalam dunia ini kerana manusia yang celaka itu lebih baik tidak diperanakkan dia”

3) Melati Kota Bharu.
Novel ini mengisahkan perjuangan politik beliau yang digambarkan melalui watak dua orang anak muda yang mempunyai wawasan yang tinggi untuk kemajuan anak bangsa. Berlatar belakangkan negeri Kelantan, novel ini membincangkan kedudukan gelaran Tengku dalam masyarakat, bagaimana perlunya persatuan untuk orang-orang Melayu, persatuan buruh, membentuk badan ekonomi Melayu, perjalanan politik tanahair, bagaimana membendung kebanjiran imigran Cina ke Kelantan dan sebagainya. Persoalan-persoalan ini dikupas dalam teknik dialog yang menarik di antara dua orang protagonisnya, Abdul Rahman dan Tengku Maimunah yang nama timang-timangnya 'Melati Kota Bharu'. Berbeza dengan Acuman Mahkota dan Sebelas Rejab yang lebih bebas dialognya dan tidak terasa kehadiran pengarangnya, Melati Kota Bharu amat terasa dan terdengar campur tangan pengarangnya dalam dialog watak-watak tersebut.

Novel ini mengisahkan perjuangan politik beliau yang digambarkan melalui watak dua orang anak muda yang mempunyai wawasan yang tinggi untuk kemajuan anak bangsa. Berlatar belakangkan negeri Kelantan, novel ini membincangkan kedudukan gelaran Tengku dalam masyarakat, bagaimana perlunya persatuan untuk orang-orang Melayu, persatuan buruh, membentuk badan ekonomi Melayu, perjalanan politik tanahair, bagaimana membendung kebanjiran imigran Cina ke Kelantan dan sebagainya. Persoalan-persoalan ini dikupas dalam teknik dialog yang menarik di antara dua orang protagonisnya, Abdul Rahman dan Tengku Maimunah yang nama timang-timangnya ‘Melati Kota Bharu’. Berbeza dengan Acuman Mahkota dan Sebelas Rejab yang lebih bebas dialognya dan tidak terasa kehadiran pengarangnya, Melati Kota Bharu amat terasa dan terdengar campur tangan pengarangnya dalam dialog watak-watak tersebut.

“…tetapi sekarang masa telah berubah zaman sudahlah beredar, kita manusia ini kenalah adat mengikut masa bukannya masa mengikut adat. Kalau berkekalanlah kita berpegang kepada adat sahaja dengan tidak memikirkan peredaran masa yang sentiasa berubah-ubah lagi maka bukanlah boleh dihitung kita orang yang hidup di dalam kandungan perubahan zaman yang beredar…” 

“Tetapi jikalau sudah anakanda tidak boleh menumpang daripadanya tentang ilmu pengetahuan, akal bicara, harta punya, maka janganlah pula akan menghabiskan harta punya anakanda sendiri dengan sebab bersuamikan kerabat yang berbangsa Tengku. Mengikut zaman kita ini bonda sebesar-besar aiblah kepada anak-anak perempuan itu jikalau bersuamikan orang yang tidak boleh memasuki majlis ahli-ahli ilmu pengetahuan, tidak boleh dibuat kira bicara dan akan menghabiskan harta punya sendiri..”

“Adapun zaman sekarang ialah zaman keinsafan dan keadilan, zaman manusia itu mengharapkan makna-makna kemanusiaan dan kehidupan akal dan kesuburannya perhubungan insaf dan adil itu tidak tersekat dan tergalang antara timur dan barat, maka itulah sebabnya tulah dan ditimpa daulat itu telah berkubur”.

“Sesungguhnya adalah kejadian manusia itu mengandungi di dalam dirinya persambungan yang tersembunyi antara dua aliran seruan hati yang boleh diibaratkan magnet baginya antara laki-laki dengan perempuan. Apabila terpetik salah satu daripada keduanya maka berjalanlah seruan hati ke atas yang satu lagi itu sebagai penarik besi berani atau istijelab yang merupakan panggilan dan mengkhabarkan keadaan tanggungannya… ”

“Nyatalah sangat begitu dan menambahkan harapan dan perserahan itu janganlah kita lalai, kerana Allah itu tiada mengubahkan nasib manusia, melainkan apabila kita sendiri mulai mengubahkan nasib itu. Oleh sebab itulah sebaik-baik ingat dan rahmat Allah itu ke atas orang yang ingat”.

“Tetapi kepada orang yang memikirkan asal usul manusia itu tiadalah tempat terbitnya lain daripada Adam dan Hawa yang kejadiannya daripada tanah hidup sekaliannya, di atas tanah dan tempat kembalinya ke dalam tanah jua”

“Oleh sebab itu lain daripada ikhtiar dan beringat-ingat itu termestilah kita bersungguh-sungguh memohon pertolongan Allah dan berharap kepada-Nya.” 

“… Kasih berahi kepada orang muda itu bukanlah semata-mata kasih berahikan kemudaan rupa parasnya, budi pekertinya, ilmu pengetahuannya, lebih lagi daripada itu kasih berahikan imannya yang teguh, kesabarannya yang kuat, akal fikirannya yang tetap lagi berahi serta bersetujuan pandangan dan pendapatnya pada kehidupan di dalam alam ini”.

“Tetapi apa boleh buat rupanya telah teradatlah di dalam alam ini tiap-tiap manusia itu ada baginya kelebihan yang tertentu daripada orang lain dan ada pula kekurangan yang tertentu di atas dirinya daripada yang lainnya. Jikalau tidak nescaya alam ini hanya mengandungi perkara atau benda yang bersamaan sahaja di mana-mana dan di dalam segala masa”.

“Oleh sebab itulah kebanyakan masa dan tempat itu kita lihat orang-orang yang di dalam kawasan belia itulah yang sangat-sangat kuat perasaan dan kecenderungannya tertarik masuk ke dalam lingkungan menyerupai orang-orang yang memerintah atau menaklukkan mereka itu dan juga mereka-mereka yang bebal”.

“Tatakala kita telah sama-sama berani memecahkan adat, maka adat bagi hati yang berteguh setia itu beranilah pula menanggung apa pun bahaya bencana yang mendatangi kita.” 

“Seseorang yang tiada memperbuat kemuliaan-kemuliaan pekerjaan itu pada makna kehidupan pergaulan, maka ialah kerendahan dan kehinaan walaupun ia menghantarkan ke atas namanya itu dengan apa-apa kalimah yang berseri-seri sebutan…”

Naskah yang diterbitkan dalam versi bahasa Inggeris.

Naskah yang diterbitkan dalam versi bahasa Inggeris.

Saya telah meneliti hampir keseluruhan karya-karya Abdul Kadir Adabi samada ulasan berbentuk rencana di dalam beberapa majalah-majalah dan kupasan novel-novel didaktik, tidaklah keterlaluan jika saya katakan Abdul Kadir Adabi sebagai ‘The Little Hamka’. Walaupun Abdul Kadir Adabi bukanlah seorang yang berstatus dalam kalangan ulama, namun daripada satu sisi yang lain merupakan insan yang banyak menyumbang kepada pembangunan fikrah umat. Beliau hidup sezaman dengan Prof Dr Hamka namun tiada fakta-fakta yang kukuh dalam menerangkan hubungan bilateral sesama mereka ketika itu. Sepertimana juga Prof Dr Hamka, seorang ulama merangkap sasterawan yang bergerak cergas mencurahkan pendapat di dalam Majalah Panji Masyarakat dan Pedoman Masyarakat, penglibatan Abdul Kadir Adabi dalam bidang penulisan terutamanya ketika bersama Majalah Pengasuh, al-Hidayah dan al-Hikmah membuktikan bahawa beliau merupakan seorang yang cukup profilik dalam menghasilkan karya-karya yang bermanfaat untuk masyarakat.

Tanpa kita sedari, kita pernah memiliki seorang tokoh pemikir yang prolifik. Namun, oleh kerana beliau dijemput pulang ke Rahmatullah di dalam usia yang masih muda, dan juga kurang pendedahan yang dilakukan menyebabkan kebanyakan daripada generasi hari ini tidak mengenali beliau serta sumbangannya dalam dunia penulisan sebelum merdeka melainkan yang dikenali hanya Maktab Adabi, Jalan Abdul Kadir Adabi dan anak tunggal beliau, Mansor Adabi (suami pertama Natrah). Memandangkan kesemua buku-buku karya Abdul Kadir Adabi tidak lagi berada dalam pasaran, saya sangat berharap pihak Dewan Bahasa Pustaka mengambil inisiatif untuk mencetak kembali karya-karya beliau yang sangat berharga ini seperti mana usaha yang telah dilakukan terhadap karya-karya Zainal Abidin bin Ahmad (Za’ba) terhadap buku-bukunya seperti Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri dan lain lain.


Cadangan:
Dan sekiranya pembaca berminat untuk mengetahui biografi penuh dan pemikiran Abdul Kadir Adabi dalam pelbagai lapangan kehidupan zaman sebelum merdeka, yang diterjemahkan melalui tulisan-tulisan beliau di dalam majalah-majalah seperti Kencana, Pengasuh, al-Hidayah dan al-Hikmah, boleh dapatkan buku tulisan Abdul Rahman al-Ahmadi terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka di Dawama.

Abdul Kadir Adabi dan Asaad Shukri: Suatu Perbandingan. Cetakan Pertama 2004.

Abdul Kadir Adabi dan Asaad Shukri: Suatu Perbandingan. Cetakan Pertama 2004.

Semoga Allah SWT menerima segala amal kebajikan yang dilakukan dan semoga beliau di tempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Marilah kita sama-sama sedekahkan pahala bacaan al-Quran kepada beliau, mudah-mudahan ilmu yang beliau curahkan kepada masyarakat digolongkan sebagai ilmu yang bermanfaat (Ilm yuntafa’u biha).

Written by Muhammad Ismail Ibrahim

May 21, 2014 at 4:41 PM

Posted in Education

2 Responses

Subscribe to comments with RSS.

  1. […] Source: Muhammad Ismail Ibrahim […]


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: