Archive for June 2014
Persoalan Takdir Dalam Kehidupan
Perbahasan mengenai persoalan takdir ini perlu diberi perincian yang khusus dan teliti serta berhati-hati supaya kita tidak terjerumus ke dalam pemikiran aliran Jabariah, Qadariah mahupun Mu’tazilah tanpa kita sedar ! Jabariah menekankan konsep bahawa segala perkara yang terjadi di dunia ini merupakan suratan dan telah ditakdirkan Allah secara total, manakala Qadariah telah meletakkan hak dan kebebasan mutlak diberikan kepada manusia dalam ruang lingkup kehidupan manusia dan terlepas dari kehendak Allah.
Secara umumnya, takdir bererti ketentuan dan ketetapan daripada Allah. Takdir berhubung kait dengan konsep Qada’ dan Qadar yakni sesuatu perkara yang dikendaki oleh Allah akan pasti terlaksana. Sekiranya seseorang berkehendakkan sesuatu dalam kehidupan dengan jalan usaha untuk mendapatkannya, tetapi akhirnya gagal memperolehnya maka inilah yang dikatakan sebagai takdir, suatu ketentuan yang mempunyai hikmah yang tersembunyi.
Dalam kehidupan ini, ramai insan yang tersalah sangka dan tersilap faham tentang maksud sebenar Qada’ dan Qadar. Dalam banyak keadaan, mereka sering menyalahkan Tuhan atas apa saja yang menimpa dalam kehidupan mereka dengan keluhan, “sudah takdir ilahi”. Perbuatan ini seolah-olah menganggap bahawa mereka tidak pernah bersalah dalam kehidupan dengan melepaskan kekhilafan diri sendiri untuk disandarkan kepada Tuhan atas nama takdir.
Za’ba berkata;
“Diyakini (kononnya) sesuatu perkara yang kita lakukan, baik benar atau salah dan sesuatu perkara yang berlaku di atas seseorang.. semuanya itu telah ditetapkan dari sedia kala (oleh Allah) dengan tiada boleh diubah dan ditukar lagi… Walau bagaimanapun dijalankan usaha dan ikhtiar hendak melawan atau menyahkan ketetapan (takdir menurut keyakinan tadi) itu, sama sekali tidak dapat… Ini bermakna nasib seseorang itu telah termeterai mati di atas dahinya dengan betul dan tepat, seperti yang akan terjadi” -Falsafah Takdir (1932)
“Sesiapa yang beramal soleh, sama ada lelaki dan perempuan, sedang dia beriman, sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka kerjakan” (Surah an-Nahl, ayat 97)
Prof Dr Hamka pernah mengungkap:
“Yang ada ini sudah harapan kita. Jangan dipandang yang tiada, sebaliknya bersyukurlah dengan apa yang kita miliki kerana mengeluh itu tanda tidak reda dengan ketentuan Tuhan” – petikan dari rakaman audio kuliah Subuh di Masjid al-Azhar, Kebayoran, Jakarta Selatan dengan tajuk; Bersyukurlah.
- “
Dan Dia telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dari segala apa yang kamu mohonkan kepada-Nya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah kamu dapat menghitungkannya. Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah).
- ” (Surah Ibrahim, ayat 34)
Dan ingatlah bahawa dunia yang kita huni hari ini bukanlah tempat perhitungan yang sebenar. Selagi mana ia bernama dunia, maka selagi itulah akan terdapatlah segala macam kekurangan dan kelompongan yang kita akan hadapi bagi meneruskan kelangsungan penghidupan di hari-hari muka. Bila sudah tiba masanya kita ditakdirkan berada ‘di sana’, maka kita akan merasakan ujian-ujian yang kita hadapi sewaktu hidup di dunia dahulu tidaklah setimpal dengan segala nikmat pemberian Tuhan yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pula pernah terlintas dihati.
Turut disiarkan di The Malaysian Insider & Sinar Harian
Pemikiran Dakwah P. Ramlee
Jika sesetengah daripada kita yang jarang menonton filem-filem hitam putih era 50-an dan 60-an, persoalan mungkin timbul tentang apakah dakwah yang disampaikan di kala aktres-aktres yang membintangi filem-filem tersebut boleh dikatakan ‘berbungkus nangka’ belaka?
Maka tidak hairanlah kenapa kita jarang melihat wanita zaman itu menutup aurat dengan sempurna. Dan jika kita masih memiliki foto-foto lama keluarga, lihatlah cara mereka berpakaian dan ia menceritakan sedikit sebanyak tentang zaman tersebut. Saya pernah melihat sekeping gambar Perhimpunan Muslimat Parti Islam di awal 1960-an yang dihadiri oleh perwakilan yang rata-ratanya tidak memakai tudung! Itu ‘muslimat’ zaman tersebut, jadi apalah nilai-nilai Islam yang nak diharapkan kepada insan seni yang bermain wayang ketika itu. Akan tetapi kalau seseorang anak wayang yang tampil dengan idea-idea Islamik ketika itu, ia merupakan sesuatu yang luar biasa! Dan itulah P Ramlee yang kita kenal.
Di dalam filem ini juga, P. Ramlee mengajar kita supaya menyantuni anak-anak yatim, berkahwin dengan orang yang tidak disukai pada awalnya tidaklah menandakan tidak bahagia pada akhirnya, membalas dendam kepada orang yang mengkhianati hanya semata-mata untuk menyedarkan mereka dan banyak lagi unsur Islamik yang digarap melalui watak-watak tersebut. Di dalam Anakku Sazali, ia memberi teladan kepada bapa yang terlalu memberikan kesenangan kepada anaknya atas nama ingin mencurah kasih sayang sehingga ia memberi kesan buruk kepada kehidupan si anak. Melalui watak Haji Bakhil lakonan Udo Umar (Nasib Labu Labi) P. Ramlee ingin menegur orang-orang kaya supaya ikhlas dalam menginfaqkan harta mereka kepada rumah anak-anak yatim.
Semoga roh beliau dicucuri rahmat.